Kematian Nur Dinie bukan disebabkan Influenza, ujian sampel klinikal adalah negatif - KKM



Media sebelum ini melaporkan Nur Dinie Damia Muhammad Noor, 7, meninggal dunia dan disyaki berpunca dari jangkitan Influenza A. 

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian sampel klinikal yang dijalankan terhadap kanak-kanak itu adalah negatif bagi jangkitan influenza. 

Menurutnya, Nur Dinie dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dari hospital swasta pada 10 Januari lalu dan ketika itu keadaannya adalah sangat kritikal. 

Pada 13 Januari 2020, Nur Dinie dilaporkan semakin tenat dan meninggal dunia pada jam 10.48 malam. Punca kematiannya sehingga kini masih dalam siasatan. 

Pihaknya juga mengambil maklum mengenai kes kematian seorang kanak-kanak yang dikaitkan dengan influenza di mana pesakit dibawa ibu bapanya ke hospital swasta di Selangor pada 11 Januari 2020 dalam keadaan kritikal sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 12 Januari 2020. 

"...siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian. KKM merakam ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua kanak-kanak terbabit," katanya. 

Analisa KKM juga mendapati trend aktiviti influenza meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan 'severe acute respiratory infection' (SARI) dari lokasi sentinel di seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak minggu akhir Disember lalu. Peningkatan itu dikesan di:
  • Kedah
  • Negeri Sembilan
  • Melaka
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya
  • Selangor
  • Perak
  • Johor
  • Pahang
  • Pulau Pinang
  • Terengganu
  • Sarawak

Walau bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan orang ramai dinasihatkan menjaga kebersihan dan menjaga adab batuk, bersin bagi mengelakkan jangkitan menular. 

Sumber: Harian Metro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.