Bengang hubungan dengan janda anak 3 tak direstui, lelaki bakar 2 kereta keluarga teman wanitanya



Berang cintanya tidak direstui dipercayai menjadi punca seorang lelaki berusia 38 tahun bertindak membakar dua buah kereta milik ahli keluarga teman wanitanya di Kampung Cheroh, Raub dekat Kuantan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Supt Kama Azural Mohamed berkata suspek berusia 38 tahun bersama seorang lagi rakannya yang menaiki Toyota Camry dipercayai datang ke rumah mangsa sekitar 2.00 pagi dan membaling dua tong plastik berisi minyak petrol ke garaj rumah itu.

"Seorang daripada mereka dipercayai telah menyalakan api menggunakan pemetik api sebelum melarikan diri, menyebabkan kereta jenis Honda HRV dan Toyota Unser yang berada di garaj itu terbakar selain pecah di bahagian tingkap.

"Bagaimanapun, kebakaran itu dapat dipadamkan oleh ahli keluarga mangsa dengan menggunakan pemadam api sebelum abang kepada teman wanita suspek membuat laporan polis," katanya kepada pemberita menerusi kenyataan media di Kuantan, semalam.

Kama Azural berkata pengadu mendakwa ahli keluarganya berselisih faham dengan suspek dan pada 7 Dis lepas, adiknya telah keluar dari rumah untuk mengikut suspek selepas hubungan mereka tidak direstui.

Adik mangsa, difahamkan kembali ke rumah semalam, untuk mengambil tiga anaknya namun keluarga mangsa terutama pengadu menghalang dia membawa keluar semua kanak-kanak itu.

Kama Azural berkata pihaknya kini giat mengesan suspek dan rakan subahatnya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.