(Video) Remaja maut dirempuh & digilis pemandu bas dibawah pengaruh dadah & tidak berlesen



Seorang penunggang motosikal maut dirempuh bas dalam kemalangan di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas pada jam 6.30 petang semalam. 

Mangsa, Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16, yang masih bersekolah di SMK Sungai Ara, bekerja separuh masuk di sebuah restoran makanan segera. 

Sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan menghantar pesanan pizza pelanggannya dan berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum dirempuh dan digilis bas yang dipandu lelaki berusia 49 tahun.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, kejadian itu turut melibatkan sebuah lagi motosikal dan dua buah kereta di mana pemandu kereta Suzuki Swift dan dua anaknya turut cedera. 


Siasatan awal mendapati, bas tersebut yang datang dari arah Persiaran Kelicap ke Bayan Lepas mula bergesel dengan sebuah kereta yang dipakirkan di tepi jalan sebelum melanggar Suzuki Swift yang sedang membelok ke kanan. 

Pemandu bas yang hilang kawalan lalu melanggar sebuah lagi motosikal yang diparkirkan di tepi jalan sebelum menuju ke persimpangan lampu isyarat lalu merempuh mangsa yang sedang berhenti di persimpangan itu sebelum merempuh tembok batu pagar perumahan berhampiran. 


Ekoran kejadian itu, pemandu bas itu ditahan dan hasil ujian saringan awal mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine, selain mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu yang sah. 

Suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 







Sementara itu, Siti Hajar Ghazali, 38, dan suaminya, Mohammad Hafeiz Mubara, 44, terkejut apabila mengetahui kejadian yang menimpa anak sulung mereka. 

Menurut Siti Hajar, mangsa sebelum itu keluar dari rumah tanpa memaklumkan apa-apa kepadanya. 

"Sepanjang hayatnya tidak pernah sikit pun arwah susahkan kami, bahkan dia suka berdikari, mencari wang sendiri jika mahukan sesuatu. 

"Saya pelik sebab selalunya dia kalau hendak keluar, pasti akan salam saya dulu. Tetapi semalam dia keluar begitu sahaja tanpa memaklumkan apa-apa. 

"Tidak lama selepas itu, saya mendapat panggilan memaklumkan kemalangan itu. Sedih dan sukarnya saya menerima berita itu. 

"Dia masih bersekolah, tetapi dari dulu dia jenis tidak suka duduk diam dan akan membuat kerja-kerja sambilan untuk mengumpul duit demi masa depannya. 

"Malah dia beritahu dia tidak mahu menyusahkan saya dan ayahnya. Jadi, apa sahaja yang dia nak, dia yang akan berusaha sendiri," katanya. 

Jenazah Muhammad Saifullah selamat dikebumikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Mustaghrifin, Sungai Tiram, Bayan Lepas.

Sumber: Harian Metro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.