'Pencahayaan di lokasi kejadian adalah cukup' - Pihak pendakwaan fail notis rayuan kes tragedi basikal lajak ragut 8 nyawa



Pihak pendakwaan semalam memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru yang melepaskan dan membebaskan jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, dua tahun lalu. 

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Amir Nasruddin, memfailkan notis rayuan itu di kaunter Mahkamah Sesyen/Majistret Johor Bahru, semalam kerana percaya terdapatnya merit terhadap beberapa isu. 

Antaranya adalah soal identiti tertuduh, lokasi kejadian yang gelap dan tertuduh orang yang tidak biasa dengan laluan di lokasi terbabit. 

"Tentang dapatan menyatakan lokasi kejadian itu gelap, sedangkan kita sudah kemukakan bukti bahawa tempat itu pencahayaannya adalah cukup. 

"Isu lain tentang dapatan bahawa mana-mana orang yang tidak biasa dengan laluan dilaluinya dianggap tidak bersalah, ini bukan satu benda yang tepat," katanya. 

Dalam pada itu juga, beliau menafikan rayuan itu dibuat atas desakan pihak keluarga mangsa. Sebaliknya, itu adalah proses biasa terhadap sesuatu keputusan mahkamah.

"Tiada desakan mana-mana pihak. Ini adalah proses biasa. Kita failkan notis rayuan terlebih dahulu, kemudian menunggu alasan penghakiman daripada majistret.

"Selepas alasan penghakiman dikeluarkan, kita akan fail petisyen dan kemudian tunggu mahkamah untuk menetapkan tarikh bagi proses selanjutnya," katanya. 

Sumber: Harian Metro


Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.