Rakam diri rogol & liwat anak OKU, bapa dipenjara 40 tahun, 24 sebatan



Padah merogol, melakukan seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandung sendiri yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran, lelaki berusia 41 tahun dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. 

Hakim Nooriah Osman, menjatuhkan hukuman itu setelah pemandu lori itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan sumbang mahram, melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dan menghasilkan video pornografi. 

"Perbuatan tertuduh keji dan terkutuk bukan sahaja dalam agama Islam, tetapi bangsa dan agama lain. Hukuman ini diharapkan bukan hanya memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi masyarakat.

"Perbuatan tertuduh meninggalkan trauma kepada mangsa dan hukuman diperuntukkan bagi kesalahan ini menggambarkan niat parlimen melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual," katanya. 

Tertuduh berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B KK apabila didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah dan beranda rumah di Marang.

Bapa kepada dua anak itu mengaku salah melakukan kesalahan itu masing-masing pada 11 pagi dan 5 pagi pada 20 dan 21 September lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa di sebuah rumah di Marang pada 11 pagi pada 20 September lalu.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan.

Tertuduh yang mengaku salah menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit milik mangsa di sebuah rumah di Marang pada 11 pagi 20 September lalu turut dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 22 September lalu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN


Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.