Pemandu didakwa langgar 8 remaja berbasikal lajak sehingga mati, dibebaskan mahkamah



Jurujual wanita yang dituduh memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017 dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, lapor Harian Metro. 

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu tanpa memanggil Sam Ke Ting, 24, untuk membela dirinya terhadap pertuduhan tersebut selepas pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan. 

Mahkamah mengambil kira pemandu yang menggunakan jalan serta situasi jalan yang berselekoh dan malam tidak boleh menjangkakan kewujudan basikal lajak pada jam 3 pagi. 

Bahkan katanya, faktor yang mencipta kecederaan bahaya bukan disebabkan cara pemanduan. Selain keadaan bahaya itu dicipta oleh kumpulan basikal lajak itu sendiri. 

Tertuduh tidak memotong kenderaan lain, tidak melawan arus dan tidak berlumba. 

Isu tertuduh menggunakan lorong kiri atau kanan tidak menjadi masalah dan dia berhak melalui lorong terbabit selain tidak mencipta situasi bahaya. 

Menurut Majistret Siti Hajar, basikal lajak adalah satu gejala sosial membabitkan kanak-kanak bawah umur. Dua hari sebelum kejadian itu juga, operasi lajak sudah dilakukan bagi mengekang aktiviti menunggang basikal ala 'Superman' di atas jalan raya. 

"Berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaan dan pencahayaan malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan. 

"Aktiviti itu (basikal lajak) sudah umum diketahui di situ (lokasi kejadian), terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di kawasan berkenaan. 

"Adalah munasabah mereka yang lalu di situ akan menjangka situasi terjadi, namun hanya terpakai kepada penduduk di situ dan mereka yang selalu menggunakan jalan itu. Adalah tidak adil kepada pengguna yang jarang menggunakan laluan itu," katanya. 

Siasatan turut mendapati tertuduh tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit serta memakai tali pinggang keledar ketika memandu sekali gus membuktikan tertuduh memandu dalam keadaan bertanggungjawab dan berjaga-jaga. 

Majistret memerintahkan lesen memandu tertuduh dikembalikan serta-merta. Wang jaminan RM10,000 juga dikembalikan kepada penjamin. 

Dalam kejadian pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017, lapan remaja berusia dari 14 hingga 16 tahun maut dilanggar kereta ketika bermain basikal lajak di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru. 

Sumber: Harian Metro


Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.