Guru ditemui mati tertiarap, dipercayai dibunuh ketika sedang sembahyang



Seorang guru wanita ditemui mati dalam keadaan tertiarap di atas katil, dipercayai dibunuh oleh individu yang menceroboh rumahnya, petang semalam. 

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12.30 - 1.20 tengah hari Selasa di Kampung Banggol, Sik, Fauziah Yop, 46, ditemui mati dalam keadaan masih memakai kain telekung, menelungkup dengan bahagian badan di atas katil dan kaki di bawah di dalam bilik oleh suaminya.

Difahamkan, suaminya, Hamzah, 51, keluar dari rumah pada jam 12.30 untuk mengambil anak bongsunya di sekolah dan tiba di rumah pada jam 1.30 tengah hari.

Sebaik tiba di rumah, Hamzah pada awalnya menyangka mangsa sedang tidur tetapi apabila dikejutkan, tiada sebarang tindak balas dan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa. 

Anak mangsa kemudian memanggil tiga penduduk ke rumahnya dan memaklumkan mengenai kejadian itu. 

Saksi, Muhd Shukri Zakaria, 24, berkata, "Ketika itu saya sedang berniaga ayam berhampiran rumah mangsa. Sampai di rumah, saya lihat keadaan rumah berselerak dan ada laci almari yang terbuka. 

"Apabila masuk ke bilik, saya lihat suami arwah sedang memangku mayat isterinya itu sambil menangis, mulut arwah berdarah dan keadaan biliknya berselerak," katanya. 

Mereka kemudian membantu mengangkat mangsa ke atas katil sebelum meminta bantuan jiran lain untuk menghubungi polis. 

Menurut Muhd Shukri, dia tidak mendengar sebarang bunyi jeritan sebelum itu walaupun kedainya berada tidak jauh dari rumah mangsa. 

Pada hari kejadian, dia hanya nampak Hamzah keluar sebelum pulang sejam kemudian. 

"Tak sangka kejadian ini berlaku, arwah selalu ke gerai saya membeli ayam. Dia seorang yang baik serta peramah," katanya. 

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan sama ada membabitkan kes bunuh atau sebaliknya. 


Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.