'Awalnya pelik juga kenapa duit ni tebal semacam' - Peniaga nasi lemak rugi RM45.50, pelanggan hulur duit palsu



Dalam kesibukan menyediakan pesanan pelanggan, ada juga insan yang berhati busuk mengambil kesempatan terhadap peniaga lemak di Pantai Klebang Melaka. 

Insiden yang dialami oleh Nurul Anis Md Noor, 18, viral di media sosial mengundang pelbagai reaksi netizen. 

Menurut Nurul Anis, kejadian itu berlaku pada jam 7.30 pagi Khamis ketika dia membantu ibunya, Aminah Hassan, 65, berniaga nasi lemak.

"Mulanya lelaki itu membeli tiga bungkus nasi lemak berharga RM4.50 dan menghulur not RM50. Saya tanya dia, ada duit kecil tidak, dia jawab tiada.

"Saya perasan duit diberikan tebal, tetapi menjangka ia baru dikeluarkan dari bank. Tanpa syak wasangka, saya menghulurkan baki RM45.50 kepada lelaki itu. 

"Lagipun ketika itu kami hendak cepat kerana ada pelanggan lain menunggu. Kami tidak perasan pelanggan lelaki itu membayar menggunakan not RM50 palsu. 

"Apabila saya lihat di belakang, ada kertas putih lalu mengoyaknya. Saya terkejut kerana not RM50 yang diberikan pelanggan itu adalah palsu," katanya. 

Berkata kepada Harian Metro, Nurul Anis juga pelik dengan tindakan lelaki itu yang selamba meletakkan beberapa keping not RM50 dalam raga motosikal skuter (EGO) yang dinaikinya. 

"Saya tertanya-tanya kenapa lelaki itu boleh meletakkan duit sebegitu. Rupa-rupanya barulah saya tahu, duit itu adalah palsu," ujarnya. 

Nurul Anis terkilan, ini merupakan kejadian pertama kali berlaku kepada ibunya sejak berniaga nasi lemak enam tahun lalu. 

"Pendapatan kami pun tidaklah seberapa, ibu pun tidak berkata apa-apa selepas melihat duit diterima itu palsu. 

"Saya berharap peniaga lain berhati-hati jika didatangi lelaki ini," katanya. 

Sumber: Harian Metro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.