17 pelajar termasuk 3 pelajar perempuan ditahan dalam parti dadah



17 pelajar termasuk 3 pelajar perempuan antara 22 individu yang ditahan dalam parti liar yang diadakan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, kelmarin. 

Mereka yang berusia antara 15 hingga 22 tahun ditahan dalam serbuan 3 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, lima lelaki dan seorang perempuan didapati positif dadah. 

Turut dirampas, dua paket mengandungi dadah jenis ketamin seberat 1.8 gram, 3 pil ekstasi, 2 pil erimin 5, 1 botol cecair ketum seberat 1.5 liter dan satu ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 4.3 gram. 

"Empat belas lelaki dan tiga pelajar perempuan adalah pelajar sekolah menengah di sekitar Lembah Klang, manakala tiga lelaki dan dua perempuan lagi sudah tamat sekolah," katanya. 

Kesemua individu itu direman selama empat hari bermula semalam mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Polis menasihatkan ibu bapa memantau kegiatan serta pergaulan anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Sumber: Harian Metro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.