Disyaki terima rasuah RM10K-RM32K untuk lindungi 'pemandu lori', 24 anggota JPJ direman seminggu



30 orang lelaki termasuk 24 penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah melindungi pemandu 'lori kebal' yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini, lapor Harian Metro. 

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 33 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ kerana melindungi sindiket 'lori kebal'. Tiga wanita dibebaskan dengan jaminan SPRM. 

Menurut SPRM, kesemua mereka dipercayai melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya yang membawa lebihan muatan. 

Mereka terdiri daripada 30 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun, ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 10:00 pagi hingga 4:00 petang semalam. 

Daripada jumlah tangkapan itu, lapan individu termasuk tiga wanita terbabit ialah orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat. 

Semua pegawai penguat kuasa JPJ Pulau Pinang adalah dari gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima rasuah berjumlah antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan. 

Pembayaran itu dibuat agar anggota terbabit tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori dan membocorkan segala maklumat operasi JPJ. 

Terdahulu sebelum tiba di Mahkamah Majistret Georgetown, bas SPRM yang membawa 30 individu itu terbakar jam 8:50 pagi tadi. 

Kejadian itu berlaku berikutan kerosakan di bahagian enjin dan terbakar di tepi Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. 

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dan kesemua suspek berkenaan kemudian dibawa ke mahkamah dengan menaiki 10 buah kereta. 

Sumber: Harian Metro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.